Polis temui wang dipercayai berkait kes curi di kasino
Januari 13, 2021 @ 1:37pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
JEJU: Polis Korea Selatan hari ini berkata, wang tunai bernilai 8.1 bilion won dijumpai di sebuah kasino di Pulau Jeju, dipercayai ada kaitan dengan kes kecurian wang membabitkan pekerja, lapor Agensi Berita Yonhap.
Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wang dijumpai dalam peti besi kasino itu adalah sebahagian daripada wang 14.56 bilion won yang dilaporkan hilang dari Kasino Landing di Jeju Shinhwa World pada minggu lalu.
Penyiasat turut menjumpai timbunan wang bernilai beberapa bilion won di kediaman seorang eksekutif wanita Malaysia yang kini menjadi suspek utama.
Wanita terbabit bertugas mengendalikan dana kasino berkenaan. Landing International Development Ltd, pengendali kasino Jeju yang berpangkalan di Hong Kong itu mendedahkan kehilangan wang menerusi laman webnya pada minggu lalu dan membuat laporan polis melalui anak syarikat tempatan, Landing Entertainment Korea.
Minggu lalu, polis melancarkan operasi memburu wanita itu, selepas memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kasino. Menurut polis, rakaman video ketika kejadian telah dipadamkan.
"Kami sedang menjejaki di mana wang tunai itu dan orang yang disyaki, dengan memeriksa rakaman CCTV," kata polis. Mereka berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan, termasuk kemungkinan ada pihak lain bersubahat kerana jumlah wang yang hilang terlalu besar dan berat jika hanya dilakukan oleh seorang suspek. C BERNAMA
|